SEBUAH CERITA

NUKILAN DARI AYU

Sesekali teringat kisah-kisah dahulu. Setiap orang punya kisah dan pengalaman yang berbeza untuk di ceritakan. Di besarkan dan di didik dengan cara yang tersendiri. Juga setiap orang mempunyai perangai, sikap dan keunikkan tersendiri.  Allah telah jadikan setiap manusia berbeza dari sudut kecenderungan, minat, perwatakan, kemampuan, perangai, cara berfikir mahupun bentuk fizikal. Selain faktor-faktor seperti genetik, perbezaan ini banyak dipengaruhi oleh pendedahan kepada persekitaran yang berbeza berdasarkan latar belakang keluarga, negeri, negara, sub-budaya dan budaya.
Seringkali kita mendabik dada kita lah yang terbaik dalam apa jua bidang di mana tanpa kita sedari bahawa masih ada insan atau manusia yang wujud lebih hebat dari kita. Andai kita handal dalam memasak, pasti ada lagi insan yang lebih hebat memasak hingga ke taraf antarabangsa. Andai kita handal dalam perniagaan, pasti ada lagi insan yang Allah berikan kelebihan dalam menangani hal perniagaan hinggakan dapat membuka cawangannya di merata-rata dunia. Andai kita hebat dalam hal-hal keagamaan dan akhirat, saya percaya pasti ada insan yang mempunyai ilmu yang lebih tinggi di berikan hidayah dari Allah S.W.T. Jadi perlukah kita mengata, memburuk-burukkan, mengutuk atau menyindir manusia yang lain untuk menunjukkan kita lah yang terbaik? Bukankah elok sifatnya andai kita menegur dengan cara yang sopan dan berhemah tanpa menimbulkan satu cerita yang kurang benarnya? Tapi saya percaya, pada insan yang merasakan dirinya yang terbaik pasti akan mempunyai alasannya. Bagaimanapun terserahlah....


REZEKI

Sekadar berkongsi pengalaman yang tak seberapa tapi saya rasa boleh di ambil pedoman dan jadikan ianya sebagai panduan mahupun tauladan. Dan saya akui, diri ini masih jauh dari kesempurnaan apatah lagi dari sisi Allah S.W.T. Masih banyak yang perlu saya belajar. Sebenar-benarnya saya berbangga menjadi anak kepada papa dan mama walaupun mereka bukanlah di kalangan insan yang hebat seperti mana ibubapa yang lain. Tetapi di mata saya mereka lah segalanya. Dan pastinya semua anak akan merasakan perasaan yang sama.  Ramai yang berkata bahawa seseorang yang bergelar ayah, abah, bapak, pak, daddy, papa dan apa jua gelarannya adalah seorang garang, bengis, pemarah, juga pendiam yang mana jarang berbicara dengan anak-anak. Akan tetapi saya menyanjungi tinggi sikap Papa terhadap anak-anaknya. Banyak juga pengajaran dan pedoman yang di berikan untuk saya bagi menangani kehidupan di masa hadapan. Sewaktu kecil dengan mempunyai adik-beradik yang ramai, kami di ajar untuk berkongsi apa jua barang mahupun makanan walaupun kami...bagi saya, bukanlah berada di kalangan taraf yang boleh di anggap keluarga yang miskin. Perkataan miskin atau susah juga tidak ada dalam kamus hidup papa kerana dia mahu anak-anaknya bersyukur dengan apa yang ada di depan mata dan menerima apa sahaja keadaan. Akan tetapi mestilah juga berusaha untuk terus maju ke depan. Kata-kata yang tak mungkin saya dapat lupakan "Walaupun kita bukan orang kaya dan hidup mewah tapi kita juga bukan di kalangan orang yang miskin atau susah. Kalau orang lain dapat makan KFC selalu, kita dapat juga sekurang-kurangnya sebulan sekali sebab gaji di terima papa sekali sebulan. Kalau orang lain dapat beli baju baru setiap hari, setiap bulan, sekurang-kurangnya kita dapat juga pakai pakaian baru setahun sekali sebab menyambut hari raya". Dengan gaji yang di terima sekali sebulan pastinya papa perlu mengagihkan(manage) duit tersebut sehingga cukup ke akhir bulan sebab saya pernah bekerja dan memang perlu buat kira-kira agar tidak terlebih guna. Dari dulu lagi papa dan mama tidak pernah menyogok kami dengan kemewahan material dalam berbelanja dan sebagainya, cukup untuk keperluan, namun tegar memberi kami kefahaman tentang erti hidup yang senantiasa di tanam jauh ke dasar kotak fikiran dan hati kami. Saya suka dengan Surah Saba’ [36] Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)." 
Satu lagi cerita, pernah kami di belikan makanan tetapi kurang enak sedikit rasanya, justeru itu papa mengingatkan kami bahawa makanan yang ada di depan adalah rezeki dari Allah yang berikan untuk kami hari ini. Allah berikan rezeki itu melaluinya. Seandainya Allah menarik balik nikmat rezeki itu seperti yang berlaku di Somalia atau menarik balik perasaan rasa lidah kami, harus bagaimana? Tiada nikmat lagi merasai kenikmatan setiap makanan yang ada... hurm tak dapat di bayangkan. Kehidupan di dunia ini juga takkan selalunya indah, di hidangkan dengan makanan enak-enak, sedap-sedap dan lazat. Pastinya kita akan menghadapi sedikit sebanyak kesusahan sebab Allah akan selalu menguji kita untuk kita terus lebih beriman kepadanya. Saya petik dari sebuah laman blog
"Syukur" ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah "Kufur nikmat".  Firman Allah: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: ayat145).



KESUSAHAN

Saya percaya setiap orang mempunyai saat susah dan senang kerana inilah dunia. Kalau kita tengok sekeliling, ada yang sanggup menjual tubuh semata-mata mahu hidup mewah. Ada yang sanggup menyelewang untuk hidup lebih senang.  Ada yang sanggup menipu untuk mendapatkan sesuatu. Semua itu terpulang pada diri sendiri jalan yang mana harus kita pilih. Andai kita punya pegangan agama, berusahalah di atas keringat sendiri kerana kita harus yakin akan pasti di balas dengan kenikmatan Allah. Cuma kadang-kadang saya sedikit terluka bila ada yang menganggap kita yang hidup sendiri(berada di luar) tanpa keluarga di sisi adalah senang kerana duit mudah di dapati. Minta duit dari keluarga bila-bila masa sahaja. Sedangkan dari pengalaman saya sebagai anak yang sulung tanpa ada kakak mahupun abang untuk bergantung, memang pernah melalui saat-saat susah dan senang sama ada di sekolah berasrama ataupun di awal memulai pekerjaaan. Ketika memulakan persekolahan berasrama, umur saya di ketika itu 13 tahun dan saya perlu kuat untuk menjaga diri dan benamkan perasaan rindu yang teramat sangat terhadap keluarga kerana mengejar ilmu. Perlu pandai menyimpan dan membelanjakan duit. Hampir setiap hari menangis sendirian untuk berbulan-bulan kerana kerinduan pada keluarga dan banyak benda yang perlu saya tahu dan buat sendiri. Sudahlah jarak asrama dan sekolah sedikit jauh kerana ketika itu pihak sekolah menyewa rumah di sebabkan asrama kami masih dalam pembinaan. Kebiasaannya, kami makan di kantin asrama yang di sediakan di kawasan sekolah sebelum pulang ke asrama kami beramai-ramai. Dalam perjalanan pulang dari sekolah, ada sahaja budak-budak nakal yang mengganggu. Belum lagi halnya kami perlu menangani kawan-kawan yang di katakan di rasuk mahupun sakit. Saat melihat kawan-kawan di rasuk adalah satu pengalaman baru buat saya. Alhamdulillah, kakak-kakak dan kawan-kawan banyak membantu hingga saya berjaya di dalam SPM tahun 1994. Walaupun tidak secemerlang yang lain, Alhamdulillah dapat menyambungkan pelajaran ke tingkatan 6 sambil meneruskan niat untuk melanjutkan pelajaran ke tempat pengajian yang lebih tinggi. Papa pernah cakap "Bagi papa, apa yang penting papa dapat sekolahkan anak-anak. Anak-anak berjaya dan dapat pendidikan yang lebih tinggi daripada pendidikan yang papa dapat". Apa yang dapat saya fikirkan di sini, ibubapa mana yang mahu melihat anak-anaknya gagal dan hidup susah. Papa dan mama hanya memikirkan cara membesarkan anak-anak sebagai orang yang berguna dan berdikari, itulah tanggungjawabnya, amanahnya. Pendidikan agama Islam selalu di terapkan dan contohnya, papa sendiri yang mengajarkan anak-anaknya mengaji. Bila mereka mendengar kuliah di masjid, mereka sampaikan ilmu yang ada kepada kami. Kekurangan dan kelemahan yang ada pada kami adalah di sebabkan diri sendiri kerana kami sudah baligh untuk berfikir yang terbaik. Akan tetapi yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T.

Menyambung persekolahan di tempat lain untuk ke tingkatan 6 membuat saya masih berjauhan dengan keluarga kerana tinggal di kampung dengan atuk dan nenek yang di panggil "abah dan mek". Kehidupan orang kampung kebanyakkannya tidak sesenang mana. Saya selalu melihat abah dan arwah mek bangun seawal 3:30 pagi pergi ke sungai untuk mencabut, mengutip dan membasuh taugeh (dulu-dulu biasanya taugeh di tanam di dalam lubang yang di buat sedalam sedepa lengan dan agak lebar dalam 8 ke 10 lubang setiap hari bergantung pada pembesaran taugeh untuk di tuai) . Kemudian di jual ke pasar seawal mungkin dan balik ke rumah dalam pukul 11:30 ke 12:00 tengahari bergantung kepada hari jualan. Dengan duit jualan setiap hari itulah, mek belikan sedikit kuih dan ikan atau ayam. Tidak pernah saya mendengar dia mengeluh, andainya saya di tempatnya pasti sedikit sebanyak akan terusik juga. Kebiasaannya, selepas menghantar mek ke pasar kerana semasa saya tinggal dengan abah, dia memiliki kereta yang agak uzur untuk memudahkannya ke sana ke mari, dia akan menghantar saya pula ke tepi jalan besar seawal 6:30pagi sebab jarak rumah ke jalan besar agak jauh. Kalau terlambat pastinya tertinggal bas dan perlu menunggu bas kedua yang pastinya saya akan terlewat sampai ke sekolah. Kalau balik, bergantung pada nasib. Kalau abah sempat tunggu dan ambil di tepi jalan, Alhamdulillah. Almaklumlah dulu-dulu mana ada handphone melainkan orang yang berada atau mewah, kalau tak... berpeluh lah berjalan kaki sampai ke rumah sambil melihat sawah padi.

Dan akhirnya, sebelum menjengah ke tahun baru berikutnya, Alhamdulillah, rezeki saya dapat memasuki ITM (sekarang di panggil UiTM). Walaupun tanpa pinjaman PTPTN seperti pelajar-pelajar yang bertuah sekarang, papa masih mampu memberikan saya duit bulanan untuk perbelajaan dan pembelajaran sebanyak RM300 sebulan. Tapi yang menghairankan saya, walaupun orang sekarang dapat pinjaman PTPTN masih belum mencukupi bagi sesetengah orang, belum mewah rasa agaknya? Belum senang rasanya tapi mampu pula membeli handphone lebih daripada orang yang bekerja... bagaimana yek? Mungkin zaman kami, harga sebuah handphone mahal...jadi telefon awam penghubung antara kami dengan keluarga bukan "makwe atau "pakwe" tau. Pelajar-pelajar sekarang juga mampu membeli baju yang mempunyai jenama, brand? Saya cuma terfikir sendiri, bukankah lagi elok dan bangganya kita kalau kita menggunakan duit PTPTN itu untuk pembelajaran kita kerana kita masih perlu membayar hasil pinjaman kita. Lain lah kalau kita sudah bekerja, duit itu semestinya dari hasil titik peluh kita sendiri untuk diri sendiri. Kepuasan dari bekerja dan menyimpan untuk membeli sesuatu yang kita idamkan adalah satu pengalaman dan proses belajar untuk kehidupan yang seterusnya. Kami dulu para pelajar biasanya tinggal di asrama dan makan apa sahaja di dewan makan terutama bila kekurangan duit tapi ada juga yang tak perlu bersusah payah... maklumlah mana boleh di biasakan susah selamanya...Walhal, di zaman kami pun ada juga yang membuat kerja-kerja tambahan untuk mencari duit lebih, apa orang kata tu ermmm 'part time job'. Seronok juga rasanya mengutip dan mencari pengalaman bersama teman-teman, kami menjadi lebih rapat. Pernah kami berjalan kaki beramai-ramai setelah habis bekerja ke stesen bas kerana perkhidmatan bas sudah habis masa. Jadi, jangan ingat kehidupan kami waktu belajar dulu tidak pernah menempuhi  erti kesusahan, petik duit dari langit jer...  


Kenangan bertatih kembali, sebenarnya membuat hati lebih menangis, terkenang segalanya. Namun ketentuan Allah Taala menjadikan kita lebih gagah bila tiada apa-apa untuk kita pegang sewaktu bertatih. Akhirnya Allah Taala kuatkan kita untuk berlari. Maka teruskan ‘berlari’ sehingga hayat ‘pinjaman’ kembali kepada tuan empunya.


PEKERJAAN

Cerita kehidupan menarik dasarnya. Melihat ke belakang sejauh mana, menjadikan ke hadapan secerah cahaya... namun hakikatnya seorang insan perlu berusaha sendiri untuk mengubah haluan ke arah yang lebih baik walaupun akan ada jatuhnya kerana cita-cita membuatkan manusia mengharapkan sesuatu yang lebih sempurna. Belum pun hadirnya "graduation day", saya telah memohon kerja untuk meringankan beban keluarga biarpun tidak di pinta papa dan mama. Saya mahu mencari duit poket sendiri, dapat memenuhi sekaligus membeli impian sebelum ini dan pastinya sedikit sebanyak menolong keluarga. Di saat memegang status sebagai pekerja, saya mempunyai niat untuk tidak menyusahkan keluarga walaupun mungkin saya tidak dapat membantu kerana saya belum pasti kehidupan yang bakal di lalui nanti. Pekerjaan pertama menuntut banyak pengorbanan kerana saya perlu bekerja 'shift', beruniform di mana keseragaman tersebut perlu di beli sendiri oleh kami sedangkan duit yang di bekalkan oleh keluarga tidak banyak, cukup untuk keperluan makan dan minum. Dan kami pekerja (terutamanya batch kami - 5 orang perempuan) di syarikat tersebut rupa-rupanya mempunyai nasib yang sama. Tinggal di asrama yang di sediakan oleh pihak syarikat, perlu menaiki teksi. Oleh kerana kami berlima dan perlu berjimat cermat, biasanya memohon dari pihak teksi untuk naik kelima-lima dan salah seorang dari kami perlu tunduk untuk mengelak dari polis ha ha ha. Kalau hari bekerja, kami boleh makan di restoren tempat kami bekerja... jimat duit. Tapi kalau hari cuti, memang maggi lah jawabnya. Di asrama tersebut tidak di benarkan mempunyai dapur, yang ada di kawasan OUG, Petaling Jaya, Selangor adalah gerai mamak. Makan mee goreng, nasi lemak seringgit ataupun makan satu pinggan untuk 2 orang. Gaji yang kami terima memang tidak mencukupi  untuk menampung kehidupan kami selama sebulan. Pernah sekali, di saat kekeringan duit, seluar kerja yang di gosok tiba-tiba terhangus sikit dek seterika uzur yang panas, apalagi jahit je lah di tempat yang koyak. Gelak besar lah kawan-kawan... hiburan dan kenangan tercipta. Sesudah habis masa untuk latihan di syarikat tersebut, kami di hantar ke cawangan sebagai praktikalnya. Bekerja di cawangan Endah Parade pula, perlu survive keseorangan lagi. Berada di kawasan penduduknya majoriti Cina, makan minum dan kawan-kawan memang susah nak dapat. Bekerja pula shift, perlu berjalan kaki melintasi flat-flat yang sunyi memang perlu sentiasa berhati-hati. Adakalanya perlu berlari untuk sampai ke destinasi sebab takut terutamanya waktu malam. Adakalanya terpaksa bekerja hampir 16jam sebab ketiadaan pekerja yang mencukupi dan memenuhi tuntutan pembeli atau pelanggan. Tapi malangnya tiada duit tambahan di beri cuma di ganti dengan cuti. Ketidakpuasan di hati mula menapak dan keinginan di hati perlukan perubahan yang lebih baik untuk diri sendiri, juga sudah mempunyai sedikit pengalaman untuk di bawa ke tempat yang baru. Bila menginjak hampir 6 bulan di syarikat ini, saya memperolehi sijil pekerja tetap dan juga "graduation day" pun tiba. Alhamdulillah, dapatlah membeli baju baru dan membawa keluarga  ke "graduation day" saya. Dengan berbekalkan sijil di tangan, saya mula memohon bekerja di tempat lain. Percubaaan ke-2 berjaya di terima di sebuah syarikat telekomunikasi. Dan dengan rasminya, saya meletakkan jawatan di syarikat tersebut. Sebuah kehidupan baru mula kelihatan. Saya dapat tinggal bersama dengan kawan baik sejak sekolah menengah lagi dan sekarang saya mempunyai tempat untuk mengadu dan kelak ketawa. Saya tidak kesunyian lagi. Walaupun masih bekerja 'shift' tapi saya puas hati di bayar dan dapat mengumpul duit. Saya rela bekerja lebih masa untuk mendapatkan duit lebih. Angan-angan lebih besar mula di pasang ha ha ha. Saya perlu mempunyai aset untuk diri sendiri kerana saya tidak mahu di anggap mengikis duit mahupun harta orang kelak. Saya mula dapat beli baju baru, handphone baru dan harta pertama yang masih ada hingga sekarang adalah periuk nasi philips ha ha ha. Apa lagi, sedikit sebanyak dapat menghulurkan duit untuk keluarga. Walaupun papa pernah kata "Simpan lah duit untuk masa depan dan kalau nak bagi pun, bagi je lah kat mama. Papa tak apa, tak payah". Tapi saya tahu, jauh di sudut hati mereka akan gembira kalau kita dapat menghulurkan sesuatu. Pernah juga kalau kami adik beradik membelikan pizza (ataupun makanan lain) untuk keluarga, papa dan mama biasanya akan menolak dengan baik dan meminta kami makan dulu sebab masih kenyang ataupun menyatakan kurang berminat sangat makan makanan tersebut. Tapi seandainya kami menyatakan makanan itu memang berlebihan atau kami simpankan untuk mereka, sedikit sebanyak hati mesti terusik jua... mereka akan menjamah makanan tersebut. Dan saya teringat satu halaman ni untuk di kongsi bersama :

http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1012-8-pembohongan-ibu-kepadaku.html
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2709


http://www.fariszaz.com/2011/01/carilah-rezeki-dari-usaha-sendiri.html


MEMILIKI

Rezeki dan kemewahan datangnya daripada Allah S.W.T. Setiap manusia dituntut untuk berusaha mengubah nasibnya tetapi di ingatkan agar tidak bersikap rakus dan tamak sehingga mencetuskan permusuhan dan perbalahan, dengki-mendengki dan sebagainya. Sebaliknya hendaklah bersikap sederhana dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah sama ada banyak ataupun sedikit. Insya Allah, akan ku cuba ikut dan pegang catatan ini buat pedoman di masa depan. Mengikut satu blog ini, bersandarkan perkataan DUIT (Doa, Usaha, Ikhtiar, Tawakkal kepada Allah S.W.T). Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.”

Alhamdulillah, setelah dapat mengumpul sedikit sebanyak aset kecil untuk kesenangan di masa depan, saya mula berangan untuk membeli sebuah kereta untuk memudahkan saya ke sana ke mari. Jadi, tak perlu lagi saya naik bas atau LRT ke tempat kerja atau ke mana-mana. Bukannya tidak mahu membeli kereta secepat mungkin tapi saya fikir perlu menabung dulu sebagai deposit dan kalau sudah mempunyai kereta, kemungkinan besar untuk saya berbelanja atau menyimpan agak terbatas. Untuk mempunyai kereta, seboleh-bolehnya saya tidak mahu menyusahkan sesiapa. Setelah berbincang dan meminta nasihat dari papa dan mama di mana papa memberi saya gambaran pro and kontra memiliki kereta... akhirnya rezeki berpihak kepada saya. Dengan kenaikkan gaji oleh pihak syarikat telekomunikasi dari setahun ke setahun, saya rasa sudah mampu untuk menyara sebuah kereta dan ini bermakna saya perlu bersedia menerima risiko dari keputusan diri sendiri. Lebih bersyukur Alhamdulillah kepada Allah S.W.T bila saya tidak memerlukan penjamin untuk membeli kereta (walaupun bukanlah dari jenis kereta baru) kerana gaji yang saya miliki waktu itu sudah memadai. Satu lagi kebimbangan terlepas. Tapi tidak di nafikan hanya untuk memiliki sebuah kereta, saya terpaksa melepaskan sebuah lagi impian besar yang mana pilihan terpaksa di tentukan dan mungkin juga bukan ketentuan buat saya. Antara pilihan dan penentuan. Antara tadbir dan takdir. Antara kesempurnaan dan pencarian. Semuanya menagih sikap berhati-hati dan kesabaran. Jangan terlalu cepat hingga tersadung dan jangan pula terlalu perlahan hingga terlambat. Namun adakalanya, kita sebagai manusia tewas dalam percaturan sendiri. Ujian-ujian yang datang bertimpa-timpa, kadang kala membuatkan kita rebah dan tersungkur.

http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1206-jangan-ditangisi-apa-yang-bukan-milikmu.html

Setelah kali kedua terselamat dari VSS (voluntary separation scheme), kemudian saya di tawarkan dengan kedudukan yang agak teguh bersama sedikit lagi kenaikkan. Alhamdulillah, usaha saya di terima. Tidak pernah terfikir akan mendapat lebih ganjaran dari Allah S.W.T. Kini sejak saya di terima kerja di syarikat tersebut, sudah 3 kali kami berpindah tempat. Akhirnya saya dapat bekerja waktu pejabat dan mungkin jodoh pun sudah sampai, saya juga merasa sudah puas keseorangan, akhirnya kini berdua. Terima kasih suamiku, Zulkifli Bin Mohamed atas segalanya. Setiap manusia punya kelebihan dan kekurangan dan Allah menciptakan menusia berpasangan-pasangan supaya mereka saling lengkap melengkapi. Perkahwinan bukan suatu proses mencari yang sempurna, tapi proses untuk menjadi yang sempurna. Bukan saya tidak pernah terfikir, benar-benar ikhlaskah dia menerima diri ini yang penuh kekurangan dan kelemahan agar suatu hari nanti tidak akan dipersoalkan jika badai menghempas pelayaran rumahtangga?Bersediakah untuk menggalas tanggungjawab yang berat itu nanti? Mampukah saya menjaga hati semua orang? Apa yang mampu saya pohon dari Allah S.W.T agar mempermudahkan perjalanan hidup kami dan dia suamiku mampu membimbing juga bersabar dengan tingkah lakuku. 

http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1493-kewajipan-lelaki-melindungi-wanita.html


http://www.iluvislam.com/keluarga/ibu-bapa/1464-pesanan-untuk-suami-isteri-usahlah-bergaduh.html

Dalam mencipta masa depan yang lebih baik, sudah tentu ianya berbeza dengan pemikiran orang lain. Dalam membentuk satu kehidupan yang baru, cabaran itu akan hadir. Keputusan berkahwin juga di buat atas keputusan sendiri, bermakna risikonya perlu saya tanggung. Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, 'dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin'. Alhamdulillah, saya di khabarkan mengandungkan seorang anak setelah 2 bulan berkahwin. Hati terasa sedikit lega, sekurang-kurangnya saya tahu tidak mandul (tidak bermaksud menghina insan yang belum di kurniakan anak, mohon maaf) dan Allah telah menolong saya dari segenap sudut. Namun itu tidak terhenti andai kita tidak mampu melayari bahtera dan menjaga, mendidik anak-anak sebaik dan sehebat mungkin. Alhamdulillah juga, ketika saya mengandungkan anak yang pertama, saya masih terlepas dari VSS dan di naikkan pangkat, di situ lah kelebihan anak itu. Ramai yang mengatakan itu adalah rezeki anak kerana setiap anak di bekalkan dengan kelebihan rezeki masing-masing. Ketika anak kedua pula, kami dapat membeli sebuah rumah untuk berehat dan berteduh.

http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1376-pedoman-buat-yang-mencari.html

http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/953-wahai-lelaki-hormatilah-isteri-awak.html 

Apa yang saya miliki kini bukannya sesuatu yang mudah. Saya perlu mendaki, menapak dan jatuh untuk selama beberapa tahun bila sendirian kerana itu pengalaman hidup selagi bernyawa. Kadang-kadang tanpa di duga Allah memberi kita rezeki yang tidak ternilai dengan nikmat kurniaannya. Saya tidak pernah menetapkan diri untuk tinggal di sebuah rumah yang besar, mewah, dalam fikiran cukuplah untuk kami sekeluarga tinggal walaupun flat. Bila rezeki di depan mata dan milik kita, perjalanannya menjadi mudah. 
  
Dan masa yang lepas itu sesungguhnya telah meninggalkan kita tetapi masa akan datang akan senantiasa melawat kita kerana masa itu umpama air pasang surut, tiada siapa yang dapat menahannya. Walaupun kita masih perlu menoleh ke belakang tetapi bagi saya hanyalah sebagai panduan agar kita dapat mengelak dari kejadian semalam yang menyakitkan dan memilukan. Kehidupan di masa depan belum tentu di mana penghujungnya, kita hanya mampu berserah kepada Yang Maha Agung, Allah S.W.T untuk mencari destinasi kita seterusnya.


MERANTAU

Dalam merangka kehidupan yang mendatang, sekali lagi rezeki berpihak kepada kami. Kami di hadiahkan Allah S.W.T menjalani kehidupan dan menimba pengalaman baru di negara orang buat sementara waktu. Negara yang di gelar matahari terbit, Jepun telah menjadi pilihan suami melanjutkan pelanjarannya.